Pages

Saturday, 4 May 2013

Oh!Oh! Suamiku Rockstar!


Oh!Oh!Suamiku Rockstar! - Satu

“ Trish! Aku dah kat McD ni.” MilraTania separuh mengah. Dia betul-betul baru sampai di pintu masuk McD Alor Setar. Trish Amani di hujung talian terpaksa membesarkan telinganya. Bunyi ketukan drum dan jeritan gitar menenggelamkan suara MilraTania. Ketika dia melalui hadapan pusat membeli belah itu tadi, kelihatan satu pentas besar menghadang pemandangan pintu masuk ke pusat membeli belah itu namun keadaan sekeliling meriah dengan orang ramai yang berkerumun.
“ Kau tunggu lama dah ke?” Trish Amani baru saja menekan butang sensor Hondanya.  Penat sungguh dia berpusing di sekeliling kawasan City Plaza untuk mendapatkan tempat parking. Akhirnya dia beralah untuk pergi ke tempat parking awam yang berada jauh di hujung jalan besar itu.
“ Ha?” Tak dengar lah! Apa dia?” MilraTania menjerit seolah-olah dia betul-betul bercakap di sebelah pembesar suara.
“ Tak apa. Kejap  lagi aku sampai. Aku baru je dapat tempat parking.” Trish Amani menjerit kembali mengikut permintaan MilraTania memintanya untuk mengulang kembali apa yang dikatakan.
“ Weh, datang cepat!” Jerit MilraTania.
“ Relakslah. Dah sampai pun!” Balas Trish Amani masih lagi menjerit.
“ Rugi kalau lambat. Dengar ni!” MilraTania kedengaran sangat teruja.
Wake me up!
Wake me up inside!
Wake me up inside!
Call my name and save me from the night!
Woh! Menganga Trish Amani jadinya mendengar latar belakang suasana MilraTania sebelum rakannya itu mematikan talian. Mamat bersuara parau menarik bait-bait lagu Evanescence dengan selambanya. Punyalah jelas dari dalam telefon, Trish Amani boleh mendengarkannya dengan begitu nyata.  Alor Setar ada apa hari ni? Gempak betul!
Dia segera membuka langkah. Trish Amani berasa sangat teruja. Jarang sekali berpeluang mendengar lagu-lagu begitu dipersembahkan secara langsung. Ramai orang akan memilih lagu-lagu selamat untuk dipertandingkan. Dengan mendengar lagu Bring Me to Life, Trish Amani berasa bersemangat untuk melihat persembahan itu. Namun cuaca hari itu tidaklah terlalu nyaman. Trish Amani memperlahankan langkahnya. Mentari seperti mengamuk dengan sinarannya yang terang-benderang walaupun jam sudah pun menunjukkan tepat setengah jam selepas pukul lima. Seketika dia mengelak motor-motor yang bersusun tidak rata di tepi jalan. Dia sudah mula menghampiri tempat yang dijanjikan pada MliraTania.
Trish Amani tiba-tiba terkenangkan sesuatu. Segera dia menekan butang telefon bimbitnya.
“ Nia, aku beli ais krim kat luar tu dulu tau.” Dengan kepanasan cuaca hari itu, Trish Amani langsung teringatkan ais krim McD yang sejuk. Terutama sekali perasa vanilla kegemarannya.
“ Kau tak payah tunggu aku. Order dulu, okay. Kejap lagi aku join kau.” Sambung Trish Amani dengan gembira. Hari yang menyenangkan untuknya biarpun cuaca panas memaksanya mahu mencari sesuatu yang sejuk untuk melegakan tekak.
Seketika itu kedengaran pelbagai lagu yang berkumandang dari dalam bangunan kedai yang serba meriah itu. Dari nasyid hinggalah ke lagu Bahasa Mandarin dan Bahasa Korea. Trish Amani sempat menggeleng pada jurujual yang menghulurkan pamplet padanya. Kakinya terus melangkah masuk ke dalam pusat membeli belah yang serba sibuk itu. Dia ke situ bukan untuk membeli belah tapi untuk bertemu MilraTania sempena cuti semester. Kebetulan ada pertandingan Battle of the Band di situ, bolehlah dia dan MilraTania berhibur sekali.
Trish Amani memang seorang yang sukakan muzik. Biarpun tidak melayan semua genre muzik namun untuk genre yang dia sukai, sanggup dia bergolok gadai. Dia sanggup berlapar untuk menyimpan duit membeli tiket konsert artis kesayangannya. Tapi kesukaannya tidak ekstrim. Dari Avril Lavigne, Paramore hinggalah ke Muse, dia sukakan muzik rock yang tidak keras. Santai tetapi melodik. Dan rakan baik yang sedang menunggunya di McD itu juga punya kepala yang sama dengannya.
Frozen inside without your touch without your love, darling
Only you are the life among the dead
Terdengarkan bahagian itu dinyanyikan dari jauh, Trish Amani langsung berlari. Bagaikan magnet, mamat bersuara parau itu punyai kuasa memukau Trish Amani untuk melupakan cita-citanya untuk membeli ais krim. Berdiri di pintu masuk City Point, Trish Amani menganga melihat band yang sedang membuat persembahan itu. Semua ahli band mengenakan T-shirt hitam dan berseluar jeans hitam. Penyanyinya berambut Mohawk pendek seperti tidak kena dengan fesyen yang dikenakan. Namun suaranya yang sangat hebat cukup untuk menutup semua itu.
“Sekian. Terima kasih.” Ucap penyanyi itu selepas lagu mereka tamat dipersembahkan. Trish Amani yang tadi berhenti bernafas kini menghela nafas kepuasan.
“ Ini kalau tak menang, memang tak patut la.” Ucap Trish Amani sambil membuka langkah menuju ke McD. Dia ternampak MilraTania yang baru sahaja hendak masuk ke McD beberapa meter di hadapannya.
“ Nia!” MilraTania menoleh. Gadis berwajah Serani itu segera menguntum senyum. Trish Amani dan MilraTania lantas berpelukan.
“ Kau sangkut tengok mamat Mohawk tu jugak ya?” Soal Trish Amani separa tergelak.
“ Gila kot kalau tak tengok. Mana datang mamat ni kat sini?” Trish Amani tergelak. Dia faham MilraTania. Rakan baiknya yang dikenali sejak tujuh tahun yang lalu punya citarasa yang tersendiri.
“ Kan? Aku berlari dari jauh nak tengok diorang ni sendiri.” MilraTania tersengih memandang Trish Amani.
“ Aku tak pernah terfikir orang lelaki nyanyi lagu ni boleh jadi sedap macam tu.” Komen Milra Tania.
“ Ye la. Selama ni lagu tu sinonim dengan Amy Lee je. Mana nak terfikir orang lelaki nyanyi lagu tu.” Balas Trish Amani pula. Mereka terus-terus bersembang dan bercerita seolah-olah baru tadi menyaksikan Cold Play ataupun Green Day di hadapan mata. Sambil berjalan ke arah pintu McDonald, pandangan Trish Amani terarah pada booth ais krim McDonald yang sepatutnya menjadi destinasi awalannya tadi. Baru dia teringat akan tekaknya yang dahagakan ais krim vanilla.
“ Baru teringat aku teringin ais krim vanilla tadi. Kau masuk dulu, Nia.” MilraTania mengangguk dengan kata-kata Trish Amani. Dia juga turut laparkan Chicken McDeluxe yang dilupakannya sebentar tadi hanya semata-mata lagu Evanescence yang dinyanyikan dengan sungguh memukau itu.
“ Terima kasih.” Ujar Trish Amani ketika menyambut ais krim dari petugas McDonald dengan leganya. Tangannya agak penuh dengan beg tangan, telefon bimbit dan ais krim dan Trish Amani terkial-kial menyusun itu semua.
Splat!
“ Hoi!” Satu suara menyergah Trish Amani. Rupanya dalam kekalutan itu dia terlanggar seorang mamat berbaju kemeja merah bertali leher hitam.
“ Ais krim aku!” Bulat mata Trish Amani. Ais krim yang diidamkan tadi melekat tepat pada baju mamat itu.
“ Ais krim yang kau risaukan? Baju aku ni macamana?” Separuh menyinga mamat yang menjadi mangsa ais krim Trish Amani itu. Matanya dijegilkan pada Trish Amani, nampak yang dia sangat marah padanya. Trish Amani yang tadi terkejut langsung menjadi malu dan bersalah. Benar. Ais krim vanilla kesukaannya itu kelihatan seperti lukisan yang bercorak abstrak di kanvas merah.
“ Maaf. Saya tak sengaja.” Balas Trish Amani dengan perlahan.
“ Mohon maaf memang senang. Tapi baju saya ni macam mana?” Balas lelaki itu kedengaran sangat tension.
“ Err… saya boleh tolong cucikan.” Dengan rasa bersalah Trish Amani segera mencari tisu di dalam beg tangannya.
“ Cuci? Tak apalah. Yang tu saya pun boleh buat sendiri.” Balas mamat itu kelihatan sangat sugul. Keadaan itu menambahkan lagi rasa bersalah Trish Amani. Sambil menghulurkan tisu pada lelaki itu, tiba-tiba datang satu idea dalam kepalanya.
“ Err… encik. Saya boleh tolong belikan encik baju baru.” Trish Amani memberi cadangan yang tidak disangka-sangka. Kalau setakat kemeja berwarna merah saiz L macam ni banyak dalam pusat membeli belah, fikir Trish Amani. Mamat yang sedang mengesat kesan ais krim pada bajunya terhenti terus. Dia memandang Trish Amani yang membuang ais krim yang kemalangan dengannya tadi ke dalam tong sampah yang berhampiran.
“ Betul? Saya memang nak cepat. Giliran saya yang ketiga lepas lagu ni.” Mamat itu terus bersetuju dengan cadangan Trish Amani. Trish Amani yang terkejut dengan jawapan itu memandang mamat yang bertompok bekas ais krim di hadapannya. Baru dia terperasan betapa bergayanya lelaki itu. Berseluar hitam dengan aksesori rantai besi di sisi kanan pinggangnya, kasut DC bertapak merah dan rambutnya dibiarkan cacak pendek. Wajahnya yang sedikit kecinaan membuatkan Trish Amani terkaku seketika. Namun lagu yang dinyanyikan dari pertandingan di belakang mereka ternyata langsung tidak kena untuk menjadi latar belakang saat itu.
Sekebun cinta nan berbunga
Megah berdiri nan berduri
Aku yang asli
Di dalam mekar
Bila terbit mentari
            Menguntumlah
Suara penyanyi perempuan  itu terus pecah kerana dia menjerit dari mula dia menyanyikan lagu Anggapanmu itu. Langsung mereka berdua tertawa seketika.
“ Tak baik tau gelakkan dia. Mesti dia dah cuba habis-habisan.” Bela lelaki itu apabila dia berhenti tergelak.
“ Sorry, saya tak sengaja.” Balas Trish Amani. Dia bukan sengaja hendak mentertawakan penyanyi itu. Namun dia berasakan suara penyanyi itu tidak mampu membawakan lagu Ziana Zain yang bernada tinggi. Tapi tidak dia suarakan pendapatnya pada lelaki itu. Dia simpan saja pendapatnya dalam diam.
“ Err.. so awak ambik bahagian dalam pertandingan ni?” Trish Amani cuba untuk berbual dengannya setelah mereka berhenti ketawa.
“ Haah. Itu yang saya panik sebab kami satu band pakai baju yang sama.” Ternyata lelaki itu menjadi tenang setelah mereka tertawa bersama tadi.
“ Okay, kalau macam tu, jomlah cari baju!” Trish Amani terus beredar menuju ke arah eskelator untuk menaiki tingkat atas. Lelaki itu bersahaja mengikuti Trish Amani tanpa banyak soal. Ketika itu Trish Amani seakan yakin dengan pencariannya.
“ Tema baju semua warna merah dan tie hitam, ya?” Trish Amani cuba menghilangkan keadaan pelik berjalan di pusat membeli belah bersama lelaki yang tidak dikenalinya.
“ Haah.”
“ Kalau merah macam ni tak dak, macamana?” Trish Amani cuba memikirkan segala jenis warna kemeja merah yang pernah dia lihat. Semua warna bermain di kepalanya. Merah hati, maroon, merah terang, merah jambu….
“ Tak pa, janji merah.” Balas lelaki itu pendek. Dia pun melilau melihat kiri dan kanan mencari kedai yang menjual pakaian.
Namun setelah mereka masuk dan keluar dari beberapa kedai, Trish Amani menjadi agak panik. Lagu Ziana Zain tadi sudah berganti dengan lagu rock 90an, Rimba Cintaku. Dan ketika lagu Rimba Cintaku hampir berakhir, mereka masih tidak menemui kemeja merah bersaiz L.
“ Habis.”
“ Saiz L tak dak, saiz M ada.”
“ Meghah tak dak. Kale kunin ada.” Terpejam mata Trish Amani mendengarkan jawapan tauke-tauke kedai yang mereka kunjungi. Lagu terakhir akan bermula bila-bila masa sahaja sekarang ini.
“ Macamana ni? Semua tak ada.” Ternyata lelaki itu sangat panik. Saat itu juga ringtone masing-masing tidak henti-henti berbunyi. Trish Amani dengan segera menjawab telefonnya.
“ Kau kat mana? Lama betul beli ais krim!” Milra Tania bertanya dengan begitu tidak puas hati.
“ Kau tunggu jap. Ada emergency!” Balas Trish Amani terus mematikan talian. Lelaki itu juga sedang menjawab telefon.
“ Aku kat dalam. Ada problem sikit.” Trish Amani memandang lelaki itu dengan perasaan yang bersalah dan separa panik. Cepat fikir! Cepat fikir! Macamana nak selesaikan masalah ni? Trish Amani terus-terus berfikir. Dia tahu lelaki ini perlu turun sekarang untuk bersiap-siap. Giliran mereka adalah selepas lagu yang akan berkumandang dalam masa beberapa saat lagi.
“ Aku turun la satgi!” Lelaki itu terus mematikan talian. Dia kelihatan sangat tertekan.
“ Sorry…” Trish Amani hanya mampu menyatakan perkataan itu sahaja waktu ini.
“ Nah… band saya panik. Sebenarnya saya ni bidan terjun last minute. Shazrul sakit tekak. Hilang suara langsung. Tu yang saya ganti tiba-tiba. Malam tadi baru kami praktis.” Trish Amani semakin memahami apa yang terjadi.
“ Oh..” Respon Trish Amani pendek. Dia kurang pasti apa yang sepatutnya dia katakan waktu ini.
“ Saya ni main bass je sebenarnya.” Sambung lelaki itu lagi.
“ Oh..” Kata Trish Amani lagi.
“ Sekarang ni… saya tak pasti saya ni presentable enough to front the band…” Luah lelaki itu perlahan. Namun matanya tetap melilau melihat deretan baju-baju yang bergantungan. Tampak dia sudah kehabisan idea dan juga kesuntukan masa.
“ Saya ada cadangan… tapi terpulang kalau encik nak ikut ke tak…” Perlahan saja Trish Amani cuba mengusul apa yang terlintas di fikirannya tadi.
“ Iaitu?”
“ Apa kata encik pakai kemeja hitam dan tie merah.” Cadang Trish Amani. Lelaki itu segera menggeleng.
“ Tak seragam. Itu saja dah tak ikut criteria yang diperlukan.”
“ Masih ada sedikit keseragaman. Masih ada warna hitam dan merah. Cuma beza pada baju dan tie saja. Lagi satu, encik kan fronting the band. Nampak lain pun tak salah.” Usul Trish Amani lagi. Dia tahu lelaki itu akan tetap tidak bersetuju tetapi di waktu ini, itu sahaja idea yang timbul di fikirannya.
Sambil mengeluh kecil, dia mengangguk perlahan. Trish Amani menghela nafas lega. Segera dia berlari masuk ke dalam kedai pakaian yang berhampiran dan meminta baju kemeja hitam saiz L dari jurujual di situ. Bila Trish Amani menunjukkan baju yang ditemuinya pada lelaki itu, dia mengangkat ibu jarinya tanda setuju. Namun dia langsung tidak mengukir senyuman. Wajahnya tampak kelat seolah-olah sedang memikirkan masalah negara yang sangat besar. Seusai membayar kemeja, Trish Amani segera bergerak mencari tali leher merah. Ketika itu lagu Gerhana sudah mula berkumandang. Mereka harus lebih cepat untuk mencari tali leher merah.
“ Ha! Jumpa!” Seru lelaki itu ketika mereka berlari anak di kaki lima kedai-kedai di situ. Nasib baik kedai yang menjual tali leher juga hanya berdekatan. 
“ Merah ni okay tak?” Trish Amani menghulurkan baju kemeja hitam itu tadi cuba memadankan tali leher yang dibelek oleh lelaki itu.
“ Okay.” Jawabnya pendek. Terus saja Trish Amani membuka beg duitnya untuk membayar tali leher tersebut. Namun lelaki itu menahannya.
“ Tak apalah. Yang ni saya bayar.” Segera dia mengeluarkan not oren bernilai RM20 dan dihulurkan pada jurujual tersebut. Trish Amani mengangguk perlahan. Dia akur sahaja dengan permintaan lelaki itu. Dalam waktu yang sangat suntuk begitu, apa pun diterima saja.
Setelah mendapat kedua-dua barang tersebut, terus mereka berlari ke arah eskelator untuk turun ke tingkat bawah. Orang ramai memandang sekali lalu pada kedua mereka yang berlari menuruni eskelator.
“ Tumpang lalu!” Tegur lelaki itu ketika dia cuba mengelak seorang nenek tua yang memegang beg plastik berisi kotak berwarna-warni. Trish Amani turut sama membuka langkah mengejar lelaki itu. Peliknya dia sendiri kurang pasti mengapa dia harus mengikuti lelaki itu sedangkan hutangnya pada lelaki itu sudah selesai.
Akhirnya mereka tiba di belakang pentas. Kelihatan beberapa orang lelaki berkemeja merah bertali leher hitam sedang memeriksa peralatan muzik mereka.
“ Mika! Hang pasai apa?” Seorang lelaki berambut merah sedang menjinjing double paddle drum berura meletakkannya di tepi tangga stage.
“ Budak ais krim vanilla ni. Habis baju aku.” Lelaki yang dipanggil Mika itu menunjukkan pada kesan ais krim penangan Trish Amani tadi. Kesemua lelaki lain yang sibuk dengan alat muzik masing-masing mengangkat kepala dan memandang ke arah Trish Amani. Trish Amani hanya mampu tersengih di situ. Seketika mereka terkelip-kelip memandang Trish Amani.
“ Habis tu nak buat macamana?” Tegur seorang lelaki yang tidak memakai uniform yang sama seperti mereka yang lain secara tiba-tiba.
“ Nak tukaq baju la ni.” Selamba saja lelaki itu menanggalkan baju kemeja merahnya dan mula menyarungkan kemeja hitam yang baru dibeli tadi. Terkejut Trish Amani dengan keselambaan lelaki itu lantas dia terus berpusing mengadap ke arah lain. Waktu itu juga kedengaran bangkangan dari kawan-kawannya.
“ Ni bukan meghah!”
“ Awat tukaq plan ntah?”
“ Pasai apa pulak ni…?”
“ Encik-encik semua , tolonglah jangan marahkan dia! Saya yang bersalah sebab kotorkan baju dia. Jadi apa kata encik-encik semua marah saya saja? Saya yang cadangkan pakai macam ni sebab tak ada satu pun baju merah saiz L masa kami cari tadi.” Trish Amani terus memotong kebisingan yang dilemparkan pada lelaki itu. Langsung tersenyap mereka semua. Seketika itu juga lagu Gerhana berakhir. Lelaki yang dipanggil Mika itu segera menyarungkan tali leher merah dengan lajunya.
“ Thanks!” Ucapnya pendek pada Trish Amani. Trish Amani tersenyum kecil. Dia berasa lega berada di situ. Sekurang-kurangnya dia berasa kurang bersalah atas tindakan yang tidak disengajakan tadi.
“ Hang dah tune bass?” Tegur lelaki berambut merah menukar atmosfera yang agak tegang itu. Lelaki yang dipanggil Mika itu mengangguk sambil menyarung strap gitar bass di bahunya. Gitar bass Ibanez Soundgear berwarna hitam tampak berkilat di bawah cahaya matahari petang. Trish Amani memerhatikan gelagat kesemua ahli band itu. Yang berambut merah sedang memutar-mutar drum stick di tangannya. Kedua orang pemain gitar, seorang kurus tinggi dan seorang lagi berbadan gempal kelihatan sedang memegang distortion masing-masing. Kini mereka menunggu kumpulan yang membuat persembahan lagu Gerhana tadi turun dari pentas. Trish Amani tahu sudah sampai masanya untuk dia beredar.
“ Err… kalau macam tu encik…..”
“ Aariz Mikail. Panggil Mika ja.” Aariz Mikail memperkenalkan diri tanpa dipinta.
“ En Mika, saya pergi dulu ya. Maaf pasal ais krim vanilla tu.” Trish Amani memohon diri dengan baik. Hatinya lega kerana akhirnya dia berjaya membantu Aariz Mikail menyelesaikan masalah teknikal yang dihadapinya tadi.
“ Mika cepat!” Panggil lelaki yang tidak berbaju uniform sambil mengangkat guitar effects ke atas pentas.
“ Ha..okay… errr…” Aariz Mikail bagaikan mahu katakan sesuatu di waktu itu. Tetapi dia terpaksa mematikan kata-katanya. Kakinya terus melangkah naik ke atas pentas. Trish Amani mengerutkan wajahnya tanda bertanya pada respon Aariz Mikail yang agak mengelirukan itu.
“ Tengok la kami main. Kalau tak dan tengok hari ni, tengok kami main kat UUM bulan depan.” Tiba-tiba satu suara menegur Trish Amani dari belakang. Trish Amani menoleh. Pemain gitar band Aariz Mikail tersenyum kecil padanya. Seolah memahami apa yang sedang berlaku. Trish Amani terus-terus mengerutkan dahinya. Dia kemudian membuka langkah ke arah pintu masuk pusat membeli-belah berura untuk menemui MilraTania yang telah ditinggalkan sekian lama.
I was blown away what could I say?
Langkah Trish Amani terhenti. Suara yang dalam yang menyanyikan lagu Daughtry itu ternyata berjaya menghentikan segala-galanya. Dia menoleh. Matanya terus menangkap wajah cina yang berbaju hitam bertali leher merah itu. It’s not over, Daughtry? Lagu ini yang Aariz Mikail nyanyikan? Getus hati Trish Amani. Sebagai bidan terjun? Biar betul? Trish Amani terus menganga.
It all seemed to make sense.
You’ve taken away everything, and I can’t deal with that.
Trish Amani terus menahan nafasnya. Dunianya bagaikan terhenti. Hanya ada dia dan Aariz Mikail sahaja di saat ini. Telefon bimbitnya menjerit suara Avril Lavigne, namun langsung tidak dia sedari.
 

Blogger news

Blogroll

About