Oh!Oh!Suamiku
Rockstar! - Tiga
Aariz Mikail pening. Terlalu banyak
perkara yang terjadi dalam satu hari dan dia berasakan otaknya kurang laju
untuk menelan semuanya serentak. Dia tidak pasti yang dia harus bergembira atau
bersedih kerana semuanya bercampur-campur.
Hatinya sangat gembira kerana gadis yang
menjadi igauannya selama sebulan muncul kembali tapi dalam masa yang sama dia
berasa sedih kerana kumpulannya gagal mendapat tempat biarpun untuk melepasi
kelayakan ke final. Baginya dengan
ketiadaan tempat langsung itu adalah satu tamparan yang terlalu hebat
memandangkan mereka telah mendapat tempat kedua bulan lepas. Kemudian ditambah
pula drama yang panas dengan kehadiran Adra Delisa di tempat kejadian. Aduh!
Keluhnya berulang kali. Kenapa semuanya terjadi dalam hari yang sama?
Dan bukan itu saja yang berlaku. Ada
pula babak drama yang berlangsung selepas itu ekoran kekalahan mereka untuk ke
peringkat akhir itu juga. Hmm… Aariz Mikail menghela nafas berat.
“ Mika, I’m sorry.” Pujuk Trish Amani
apabila pengacara pertandingan selesai mengumumkan nama – nama kumpulan yang
layak bertanding ke peringkat akhir. Mereka langsung tidak layak. Dia berasa
kecewa namun jauh di sudut hatinya ada terdetik yang lagu yang mereka mainkan
kali ini tidak cukup kuat untuk meraih kemenangan.
Beberapa minggu sebelum itu mereka sudah
membuat latihan beberapa kali dengan memainkan beberapa buah lagu sebelum
membuat keputusan untuk memilih lagu
pertandingan. Awalannya Aariz Mikail dan Hafiz Khilfi, pemain dram
sangat berminat untuk mempertandingkan dengan lagu Tears Don’t Fall dari Bullet For My Valentine. Setelah beberapa
kali jamming lagu tersebut, Shazrul
Uzwan, penyanyi mereka merungut akan kesusahan untuk menjerit pada beberapa
bahagian lagu tersebut. Dia kemudiannya memberi cadangan lagu yang tenang
seperti Here Without You dari 3 Doors
Down.
“ Lagu tu slow sangat. Tak sesuai la
untuk pertandingan.” Bantah Aariz Mikail.
“ Untuk persembahan majlis tari – menari
boleh la.” Sampuk Hafiz Khilfi pula.
“ Main Hati Emas lagu dari M Nasir, la.” Cadang Aidil Fitri, gitaris kedua
band itu.
“ Apa masalahnya dengan Tears Don’t Fall? Suara hang okay la!”
Aariz Mikail berkeras mahukan lagu kegemarannya dipertandingkan.
“ Aku jerit tak sampai la. Mana boleh
tarik macam Matthew Tuck!” Shazrul Uzwan membantah. Semua orang bercakap
serentak dan hanya Iskandar Rushdan, pemain gitar utama yang mendiamkan diri
dan memerhatikan mereka semua tanpa sebarang idea untuk mencelah. Sudahnya
masing-masing tarik muka masam dan Shazrul Uzwan terus beredar meninggalkan
mereka semua apabila Adra Delisa datang menyapa.
Aariz Mikail mengeluh lagi. Kehadiran
Adra Delisa sebenarnya menambah luka lagi dalam buatnya. Gadis itu adalah bekas
kekasihnya dulu. Dan setelah berpisah dengannya hampir setahun, entah kenapa
dia masih tidak punya yang baru. Mungkin kerana Adra Delisa sentiasa hadir di
dalam hidupnya saban hari. Apatah lagi Adra Delisa kini adalah milik Shazrul
Uzwan.
“ It’s okay, Trish. Cuma… tak sangka tak
dapat masuk final..” Luah Aariz
Mikail perlahan. MilraTania dan Suzanna hanya memerhatikan mereka dari jauh.
Setelah mereka ucapkan beberapa patah kata semangat pada Aariz Mikail tadi,
perlahan – lahan mereka beredar dan memberi ruang untuk Aariz Mikail dan Trish
Amani bersama.
“ You
guys have done the best that you can.” Pujuk Trish Amani. Aariz Mikail
memandang Trish Amani. Entah kenapa hatinya berasa tenang. Sambil menarik nafas
dalam - dalam, dia mula berfikir.
“ To
think again, that’s not the best at
all.” Aariz Mikail langsung teringat pada pertengkaran mereka tempohari.
Hafiz Khilfi bertindak untuk menghentikan ketegangan dengan memujuk semua orang
untuk mengikut kehendak Shazrul Uzwan. Aidil Fitri bersetuju dengan cadangan
Hafiz Khilfi, alasannya inilah penglibatan terakhirnya dengan band mereka
sebelum dia memulakan kelas masternya. Iskandar Rushdan hanya mengikut kehendak
mereka kerana dia tidak mahu bertengkar lagi. Hanya Aariz Mikail sahaja yang
tidak mahu berganjak dengan keputusannya sehinggalah dia dipujuk oleh Adra
Delisa.
“ Mika…please…” Adra Delisa memujuk
manja. Aariz Mikail memandang Adra Delisa separa mengeluh.
“ Lagu ni payah nak menang. Kalau takat
persembahan boleh la!” Aariz Mikail seakan cuba untuk melepaskan kegeramannya
yang tidak berkesudahan itu.
“ Alah, boleh punya. Lagu ni kan famous. Suara Shaz nyanyi lagu ni sedap,
apa?” Adra Delisa cuba memberi kata positif agar Aariz Mikail mengikut kehendak
kekasihnya.
“ Bukan masalah tak sedap. Lagu ni tak
ada weight la!” Bantah Aariz Mikail
lagi. Melihatkan Aariz Mikail masih berdegil dengan keputusannya, Adra Delisa
terpaksa mengubah strategi.
“ Mika, tak apalah kalau kalah dengan
lagu ni pun. Sebab bila dah kalah, barulah diorang nak sedar yang pendapat Mika
tu betul.” Adra Delisa cuba lagi mencucuk bekas kekasihnya.
“ Tapi tak mau la kalah.” Aariz Mikail
masih tidak lagi berganjak dengan pendiriannya. Namun kata – kata Adra Delisa
itu mula merasuk fikirannya. Mungkin mereka perlu diajar melalui kekalahan
memandangkan siapa pun tidak menyokongnya kini.
“ Sekali ni je. Lepas ni mesti diorang
berubah fikiran dan dengar cakap Mika.” Adra Delisa berucap dengan yakin.
“ Lagi pun ada dua minggu lagi, kot –
kot la Shazrul hilang suara macam hari tu, Mika boleh la ganti. Fronting dengan lagu yang Mika nak tu
lagi.” Tambah Adra Delisa dengan kemas. Dia tahu kata – kata terakhirnya itu
adalah jarum yang paling dalam untuk dia mengubah fikiran lelaki itu. Dia kenal
Aariz Mikail. Senang dipujuk jika tahu cara yang betul.
Bukan sehari dua dia mengenali lelaki ini.
Sudah bertahun – tahun. Mungkin kerana itulah lama-kelamaan dia hilang perasaan
pada Aariz Mikail. Baginya Aariz Mikail terlalu baik dan sangat menjaga
hatinya. Senang diduga dan mudah menyerah kalah pada Adra Delisa. Kerana itu Adra
Delisa berasa bosan. Dia mahukan lelaki yang mahukan cabaran. Dia mahukan
dirinya direbut dan ditawan. Sebagaimana yang dilakukan oleh Shazrul Uzwan
selama dia bersama Aariz Mikail. Bersungguh – sungguh menunjukkan kesabarannya
dalam menawan hati Adra Delisa biarpun Adra Delisa ketika itu adalah kekasih
Aariz Mikail, rakan sekuliahnya. Dalam diam dia membalas perasaan Shazrul
Uzwan.
“ Jadi setuju la kan? 3 Doors Down, right?” Soal Adra Delisa memeriksa
samada pujukannya tadi berjaya. Aariz Mikail menarik nafas panjang. Dia
mengangguk perlahan dan Adra Delisa bersorak gembira di tepinya dengan selamba.
Kemudian dia terus mencari telefon bimbitnya untuk menghubungi Shazrul Uzwan.
Aariz Mikail hanya mendiamkan diri. Sejurus dia terdengar perbualan Adra Delisa
bermula, dia mula membuka langkah pergi. Dia sedar yang dirinya bukanlah
sesiapa. Hanya orang yang biasa – biasa saja.
“ Hey,
you guys can still rock on in other competitions, right?” Soalan Trish
Amani menyedarkan Aariz Mikail dari lamunannya. Dia memandang gadis itu sambil
tersenyum. Gadis itu sangat baik hati. Tidak hairanlah kenapa dia asyik
teringatkan gadis itu sejak pertembungan mereka sebulan yang lalu. Peristiwa
ais krim vanilla itu sangat indah buatnya apatah lagi diikuti dengan kemenangan
mereka dalam mendapat tempat kedua.
“ Sebenarnya tak. Band ni nak pecah
sebab masing – masing dah mula nak buat haluan sendiri.” Luah Aariz Mikail
perlahan.
“ Oh..” Jawab Trish Amani perlahan. Dia
kurang pasti apa pula pujukan yang baik harus dia berikan di waktu ini.
“ Itu yang kami berharap dapat tempat dalam
pertandingan ni sebab inilah kenangan terakhir untuk band. Tapi tu la… tak
sangka nak masuk peringkat akhir pun tak lepas.” Aariz Mikail mengusap
rambutnya ke belakang. Trish Amani pula masih terkebil – kebil di sisinya.
“ Thanks
for being here for me.” Sambung Aariz Mikail perlahan. Trish Amani
tersenyum dengan kata – kata Aariz Mikail yang kedengaran sudah mulai tenang
itu.
“ Aku nak balik dah ni.” Tegur satu
suara tiba – tiba. Iskandar Rushdan, pemain gitar utama band Aariz Mikail
menegur.
“ Okay.” Jawab Aariz Mikail lalu
bersalaman dan berpelukan dengannya.
“ Sorry la kita kalah.” Ucap Iskandar
Rushdan perlahan.
“ Tak apa lah. Tak ada rezeki.” Balas
Aariz Mikail.
“ Aku pun nak gerak dah ni.” Tegur satu
lagi suara. Aidil Fitri datang ke arah mereka dengan membawa guitar casenya sekali.
“ Aku dari tadi nak gerak. Dok buang
masa kat sini lama – lama buat apa? Bukannya masuk final pun!” Shazrul Uzwan terus datang menegur dengan kasar.
“ Relaks la. Nak buat macamana tak dak
rezeki nak menang.” Balas Hafiz Khilfi pula.
“ Bukan salah aku kita kalah. Aku nyanyi
tadi okay.” Shazrul Uzwan masih lagi tidak puas hati.
“ Tak dak sorang pun bersalah. Memang
tak ada rezeki nak menang.” Balas Hafiz Khilfi lagi.
“ Mesti ada siapa – siapa main tak kena.
Sebab tu kita kalah,” Rungutan Shazrul Uzwan semakin menekan keadaan. Ketika
ini semua ahli band mengelilingi Shazrul Uzwan dan memandangnya dengan serius.
Trish Amani yang berada di samping Aariz Mikail turut sama menjadi hairan
dengan sikap Shazrul Uzwan itu.
“ Tak ada siapa pun main tak elok. Semua
okay ja. Yang tak okay hakim sebab diorang tak pilih kita.” Aariz Mikail
akhirnya membuka mulut.
“ Dah la tu. Tak ada rezeki.” Balas
Aidil Fitri pula.
“ Kita terima ajelah. Macam la sebelum
ni kita tak biasa kalah.” Aariz Mikail turut menyokong Aidil Fitri.
“ Hang boleh la kata lagu tu. Hang
hebat! Bulan lepas dapat nombor dua walaupun first time jadi penyanyi.”
Kedengaran suara Shazrul Uzwan berbaur kecemburuan.
“ Hang ni pasai pa?” Suara Aariz Mikail
sudah mulai berubah. Tersirap dia mendengar tuduhan yang dilemparkan padanya.
Dia tidak menyangka Shazrul Uzwan langsung tidak boleh menerima kekalahan
mereka. Padahal biasa saja keadaan ini berlaku kepada mereka sebelum ini.
Seolah – olah ada perkara lain lagi yang berlaku hingga menaikkan darah Shazrul
Uzwan.
“ Eh… janganlah gaduh. Tak apalah kita
kalah kali ni. Lain kali rezeki kita pulak..” Pujuk Hafiz Khilfi.
“ Rezeki apa pulak? Kata ni last main.
Korang jugak yang nak keluar dari band ni kan?” Shazrul Uzwan mulai menyinga.
Ketika itu Aariz Mikail mulai menahan bahu Shazrul Uzwan.
“ Hang ni nak apa sebenarnya? Nak cari
sebab kenapa kita kalah?” Aariz Mikail mulai turut menyinga.
“ Hang pegang aku ni pasai apa? Nak cari
gaduh?” Tuduh Shazrul Uzwan sambil menepis tangan Aariz Mikail. Ketika itu juga
Aariz Mikail mulai mengepalkan tangan menahan marah. Segera Hafiz Khilfi
menarik Aariz Mikail ke tepi manakala Iskandar Rushdan dan Aidil Fitri segera
memegang Shazrul Uzwan dari mengapa – apakan Aariz Mikail. Trish Amani yang
tadi berada di sisi Aariz Mikail sudah mulai berundur jauh sedikit dari mereka.
Dia tahu mereka semua sedang berasa sangat keliru untuk menghadapi keadaan itu.
Ketika itu juga mereka semua ditegur
oleh satu suara yang langsung mengubah suasana tegang itu.
“ Hai! Jom kita semua makan!” Adra
Delisa dengan selambanya meredah di celah – celah drama yang sedang berlaku.
“ Ih…perempuan ni la…” Dengus Aariz
Mikail perlahan. Namun didengari oleh semua mereka di situ.
“ Hang kata apa? Hang kata apa? Hang nak
cari pasai sungguh dengan aku, kan?” Shazrul Uzwan terus meronta dari cengkaman
tangan kawan – kawannya itu. Biarpun tidak berjaya namun dia tetap berusaha
untuk melepaskan dirinya agar dapat dia lakukan sesuatu kepada Aariz Mikail.
Aariz Mikail pula memandang Shazrul Uzwan dengan penuh kemarahan. Sambil itu dia
dipujuk oleh Hafiz Khilfi agar bertenang.
“ Alah, gaduh apa pulak ni? Sudahlah
Mika… jangan la gaduh lagi.” Pujuk Adra Delisa yang baru menyedari apa yang
berlaku. Dia kemudiannya menarik lengan Shazrul Uzwan dengan lembut dan
memujuknya untuk tidak mengamuk lagi. Dengan perlahan Iskandar Rushdan dan
Aidil Fitri melepaskan Shazrul Uzwan.
“ Dah la tu sayang. Jangan la marah
lagi. Sayang nyanyi sedap sangat tapi nak buat macamana hakim tu bodoh.” Pujuk
Adra Delisa sambil berura menarik tangan Shazrul Uzwan untuk pergi dari situ.
Mendengarkan pujukan Adra Delisa itu, Shazrul Uzwan langsung menjadi sejuk. Dia
menarik nafas dalam – dalam tanpa memandang sesiapa pun di situ. ketika itu
Adra Delisa terlihatkan Trish Amani yang berada tidak jauh di belakang Aariz
Mikail.
“ Itu awek siapa?” Soal Adra Delisa
penuh curiga. Semua orang memandang ke arah jari yang ditunjukkan oleh Adra
Delisa. Masing – masing terkejut dengan soalan Adra Delisa yang tiba – tiba
bertukar nada. Trish Amani yang terperanjat dengan soalan Adra Delisa itu
langsung menjadi mati kutu. Kenapa pula berubah tumpuan jadinya sekarang ini?
“ Saya… Trish Amani. Kawan Mika.” Trish
Amani memperkenalkan dirinya Adra Delisa dengan sopan.
“ Kawan Mika? Apa kau mengarut ni?” Adra
Delisa seperti berasa terancam dengan kewujudan Trish Amani di situ. Dia sudah
terbiasa menjadi satu – satunya perempuan di dalam hidup Mika dan hari ini dia
dikejutkan dengan kehadiran seseorang yang langsung tidak dia kenali.
Aariz Mikail yang tadi pening dengan
Shazrul Uzwan hanya mampu mengangkat kening melihat sikap Adra Delisa terhadap
Trish Amani. Dia kurang pasti apakah yang sebenarnya sedang berlaku
memandangkan rasa marahnya pada Shazrul Uzwan masih belum surut. Dia sedang cuba
memujuk hatinya yang masih meradang jadi fikirannya lambat mentafsir situasi
baru yang berlaku.
“ Mengarut? Apa maksudnya?” Trish Amani
tersentak dengan respon Adra Delisa. Dia langsung tidak berniat untuk menyakiti
sesiapa. Apatah lagi pada Adra Delisa yang langsung tidak dia kenali.
“ Kawan Mika? Aku tak kenal kau pun.”
Adra Delisa menjawab dengan tegas. Jelas Adra Delisa tidak langsung mampu
menyembunyikan perasaannya.
“ Aaa… saya… saya…” Tergagap – gagap
Trish Amani memikirkan jawapan.
“ Macam ni la perempuan, kau nampakkan
diorang tengah ada masalah? Jadi apa kata kau angkat kaki dan berambus?”
Terkejut semua yang ada di situ mendengarkan kata – kata Adra Delisa. Tak pernah mereka melihat Adra
Delisa bersikap sedemikian.
“ Adra. Apa ni?” Tegur Aariz Mikail tiba
– tiba.
“ Mika, jangan tambah masalah dengan
perempuan, okay?” Adra Delisa yang terkejut dengan teguran Aariz Mikail itu
terus menukar nada suaranya menjadi lembut seperti biasa.
“ Apologise.”
Aariz Mikail kedengaran agak keras memberi arahan kepada Adra Delisa biarpun
hanya dengan satu perkataan. Bulat mata Adra Delisa mendengarkan arahan itu.
“ Ha? Kenapa kena minta maaf pada minah groupie ni?” Adra Delisa meluahkan
perasaan tidak puas hatinya pada Mika. Terkejut Trish Amani mendengarkan
perkataan yang digelar padanya.
“
Excuse me, you think I am a groupie?”
Trish Amani yang semakin panas menahan ledakan hatinya dan memandang Aariz
Mikail dengan wajah yang sungguh tidak puas hati. Groupie? Bagi Trish Amani perkataan itu dilabelkan kepadanya adalah
sungguh tidak adil.
“ Apasal? Kau ada masalah?” Marah Adra
Delisa.
“ Adra! Apologise.” Aariz Mikail masih lagi berkeras seperti tadi.
“ Langsung tak. Mika, thanks for everything. Saya balik dulu.”
Jawab Trish Amani terus berlalu meninggalkan mereka semua. Hatinya sangat baran
kerana tiba – tiba saja dia diserang begitu. Masalah untuk Trish Amani, dia
langsung tidak pandai bergaduh mulut seperti Adra Delisa. Yang dia mampu
hanyalah mengikut kehendak perempuan yang menyerangnya – angkat kaki dan
berambus.
Melihatkan Trish Amani berlalu begitu,
Aariz Mikail langsung menjadi panik. Dia yang tadi berserabut dengan Shazrul
Uzwan langsung ditambah pula dengan kecemburuan Adra Delisa pada gadis yang
baru saja menjadi kawan barunya itu.
“ Happy?”
Marah Aariz Mikail pada Adra Delisa sebelum dia mula membuka langkah dan
mengejar Trish Amani. Dia pernah terlepas gadis itu dulu. Dan kali ini dia
tidak mahu peristiwa yang sama berulang kembali.
“ Mika! Mika!” Adra Delisa menjerit
memanggil Aariz Mikail dengan lantang namun langsung tidak dipedulikan Aariz
Mikail. Aariz Mikail terus cuba mendapatkan Trish Amani yang sudah bergerak
bersama kawan – kawannya, MilraTania dan Suzanna dan mula meninggalkan kawasan
itu.
“ Trish! Trish!” Panggil Aariz Mikail
ketika dia semakin mendekati Trish Amani. Trish Amani pula yang baru menyedari Aariz
Mikail mengejarnya tadi terus mempercepatkan langkahnya.
“ Trish! Please! Tunggu kejap.” Akhirnya
Aariz Mikail berjaya menghentikan langkah Trish Amani. Gadis itu menarik nafas
panjang sambil memandang ke arah lain. Bahang petang di UUM itu menambahkan
lagi kemarahan di hatinya. Aariz Mikail pula menarik nafas lega. Hampir saja
dia kehilangan gadis itu lagi.
“ Saya minta maaf.” Ucapnya Aariz Mikail
sambil meneliti wajah Trish Amani dengan sepenuh hatinya. Betapa dia mahukan
reaksi positif dari gadis itu. Dia tidak sanggup wajah yang sentiasa hadir di
dalam fikirannya itu berduka.
“ Kenapa nak minta maaf? Bukan salah
Mika.” Balas Trish Amani dengan keras. Ternyata hatinya masih sakit dengan
tindakan Adra Delisa itu.
“ Saya minta maaf atas semua perkara
yang terjadi tadi. Trish tak sepatutnya dilayan macam tu.” Ucap Aariz Mikail perlahan.
MilraTania dan Suzanna memandang Aariz Mikail dengan perasaan kasihan. Sambil
menyiku Trish Amani, MilraTania memberi signal agar Trish Amani mengasihani
Aariz Mikail.
Tetapi Trish Amani menggeleng. Dia
seolah – olah serik untuk mendekati apa yang terjadi padanya tadi. Aariz Mikail
memandang reaksi Trish Amani itu dengan perasaan yang sangat susah hati. Dia
tahu dia akan kehilangan gadis itu sekali lagi sekiranya dia tidak berbuat
sesuatu.
“ Tak apa, Mika. Macam saya cakap tadi,
awak tak salah.” Balas Trish Amani perlahan.
“ Tapi…” Protes Aariz Mikail namun
dipotong oleh Trish Amani dengan laju.
“ Tapi sebab maaf yang awak nak, jadi
okay. Saya maafkan.” Entah kenapa jawapan Trish Amani itu menusuk hati Aariz
Mikail. Gadis itu menjawab dengan baik dan langsung tidak kedengaran sarkastik.
Tapi dia tahu gadis itu sangat berkecil hati.
“ Trish, saya…” Aariz Mikail bagaikan
tak punya ayat untuk memujuk gadis itu. Tapi dia tidak sanggup melepaskan gadis
itu pergi.
“ Tak apa, Mika. Lupakan saja apa yang
berlaku. Saya dah maafkan awak.” Trish Amani terus memberi signal kepada
MilraTania dan Suzanna agar mereka beredar sekarang. Melihatkan signal itu,
lengan Aariz Mikail terus berpaut pada beg yang tersandang di sisi Trish Amani.
“ Do
you have to leave?” Aariz Mikail menahan Trish Amani dengan memegang beg
sandang berwarna biru itu. Terpaksa Trish Amani berhenti melangkah.
“ Sorry,
I have to go now.” Mendengarkan jawapan Trish Amani, Aariz Mikail
melepaskan tangannya dari beg yang dipegangnya itu. Dia tahu dia tidak punya
kuasa lagi untuk menahan gadis itu dari pergi. Hatinya rawan dan kepalanya
berserabut. Tapi dia tidak punya penyelesaian buat masa ini kecuali melepaskan
gadis itu pergi. Dengan hati yang sangat berat dia melihat gadis itu membuka
langkah meninggalkannya di perkarangan tempat letak kereta itu sendirian.
MilraTania dan Suzanna memandang Aariz
Mikail dengan wajah yang bersalah. Namun tiada apa yang boleh mereka lakukan. Sempat
MilraTania melambai pada Aariz Mikail sebelum mereka menjauh dan disambut laju
lambaian itu oleh Aariz Mikail. Namun Trish Amani langsung tidak menoleh padanya.
Aariz Mikail memejamkan mata menahan
pedih di hati. Dalam hati dia tidak putus - putus berdoa agar gadis itu
tidak berputus asa ke atas dirinya. Dia
kurang pasti patutkah dia berlari menahan gadis itu sekali lagi. Kepala Aariz
Mikail sangat berserabut di waktu ini. Keadaannya ketika itu tak ubah seperti
dalam drama televisyen. Terngiang – ngiang di telinga Aariz Mikail lagu Tears don’t fall yang dia pernah berlatih
bersama kumpulannya dulu.
The
moments die, I hear no screaming
The
visions left inside me are slowly fading
Would
she hear me if I called her name?
Would
she hold me if she knew my shame?
Aariz Mikail masih berada di situ
melihatkan Trish Amani berlalu pergi. Matanya mengekori mereka sehingga imej
mereka kelihatan kecil di pandangan matanya. Setelah kelibat mereka hilang dari
pandangan, Aariz Mikail membuka langkah berat untuk mendapatkan rakan –
rakannya yang ditinggalkannya tadi. Dia menarik nafas lambat – lambat. Dia
perlu mengadap perpisahan bandnya pula. Dan perkara itu sangat payah untuk
ditelan. Berpisah dengan kekalahan. Dia tahu untuk menghadap mereka semua
kembali bukanlah semudah yang disangka. Apatah lagi setelah dia dan Shazrul
Uzwan hampir – hampir bertumbuk di situ. Bertumbuk di khalayak ramai. Hampir
saja itu berlaku. Nasib baik ditahan oleh rakan – rakannya yang lain.
There’s
always something different going on
The
path I walk’s in the wrong direction
There’s
always someone xxxx hanging on
Can
anybody help me make it better
Setibanya dia di kawasan pertandingan
itu tadi Aariz Mikail menganga. Tiada seorang pun dari ahli kumpulannya
kelihatan. Berpusing – pusing Aariz Mikail mencari kelibat mereka tetapi tiada siapa
pun di situ. Hampir saja dia mahu menjerit. Pit! Kanda! Aidil! Shazrul! Takkan
mereka semua pergi begitu sahaja? Kenapa mereka semua harus pergi begitu?
Kali ini Aariz Mikail benar – benar
meradang. Dengan marah dia mula membuka langkah pergi menuju ke keretanya.
Nasib baik dia sudah menyimpan gitar bassnya awal – awal lagi. Kalau tak, mau
gitarnya ditinggalkan begitu saja oleh rakan – rakannya itu.
“ Takkan Pit pun blah jugak? Bukan dia
datang dengan aku ka?” Aariz Mikail berbicara sendirian. Dalam kepalanya
bermain segala perkara. Dia berasa sangat mengamuk kerana perpisahan itu
berakhir tanpa kata. Atau yang sebenarnya berakhir tanpa dia di situ. Sampai
hati mereka!
This
battered room I’ve seen before
The
broken bones they heal no more, no more
With
my last breath I’m choking
Will
this ever end? I’m hoping
My
world is over one more time
Setibanya Aariz Mikail di keretanya, dia
terus menuju ke bahagian pintu kereta tanpa menyedari Hafiz Khilfi yang bertinggung
di tepi keretanya sedang menghisap rokok.
“ Mika! Oi!” Tegur Hafiz Khilfi
menyedari yang tindakan Aariz Mikail yang tergesa – gesa masuk ke dalam kereta tanpa
menegurnya. Pasti Aariz Mikail tidak menyedari kewujudannya di situ.
Terkejut Aariz Mikail mendengarkan
teguran Hafiz Khilfi itu. Langsung lengannya terlanggar pada bahagian kereta
ketika dia tergesa – gesa mahu keluar dari kereta.
“ Adoi!” Kata Aariz Mikail sambil
menggosokkan lengannya yang berasa sengal itu. Hafiz Khilfi hanya
mentertawakannya sambil mematikan rokok di kaki lima jalan.
“ Hang okay?” Soal Hafiz Khilfi.
“ Dak.” Jawab Aariz Mikail pendek.
“ Jom balik.” Ajak Hafiz Khilfi dengan
selamba.
“ Okay.” Aariz Mikail terus saja
bersetuju dengan cadangan Hafiz Khilfi. Setelah mereka keluar dari kawasan UUM,
barulah Hafiz Khifli membuka cerita. Sedih Aariz Mikail mendengarnya namun
ditelannya satu – satu dalam diam. Shazrul Uzwan adalah orang pertama yang
meninggalkan UUM. Alasannya esok dia kerja. Kemudian Aidil Fitri juga beredar
dengan alasan hendak membuat persiapan untuk sambung belajar. Iskandar Rushdan
juga beredar kerana dia mahu bekerja esok. Siapa pun tidak mahu mengucapkan selamat tinggal
dengan baik. Siapa pun tidak mahu menunggu Aariz Mikail.
Your
tears don’t fall, they crash around me
Her
conscience calls, guilty to come home
“ Kalau hang tak mai dengan aku, hang
pun blah jugak kan?” Soal Aariz Mikail bersahaja. Tetapi dalam hati, pedihnya
Tuhan saja yang tahu.
“ Dak aih. Aku memang tunggu hang.”
Jawab Hafiz Khilfi dengan jujur. Aariz Mikail memandang Hafiz Khilfi sekilas
sebelum memandang ke jalan raya semula. Trafik bergerak agak perlahan. Mereka
sudah mula masuk ke pekan Changlun.
“ Thanks
bro.” Ucap Aariz Mikail perlahan.
“ Aku tak kisah diorang nak blah. Dah
tau lama pun. Tapi aku nak main muzik lagi.” Luah Hafiz Khilfi. Aariz Mikail
tersenyum mendengarkan kata – kata Hafiz Khilfi.
“ Jom kita buat band baru.” Cadang Aariz
Mikail.
“ Memang tu yang aku fikir pun.” Sambut
Hafiz Khilfi dengan riang.
“ Main metal?” Soal Aariz Mikail.
“ Yang tu aku tak terfikir la pulak.”
Balas Hafiz Khilfi pula. Mereka kemudiannya tidak henti – henti berbincang
mengenai band baru yang diidamkan itu. Dari isu mencari ahli band baru
hinggalah ke lagu – lagu yang mereka mimpikan untuk cover.
“ Eh jap. Tadi aku call hang, tapi hang
tak jawab.” Tegur Hafiz Khilfi tiba – tiba. Aariz Mikail tersengih dengan
soalan itu.
“ Handphone aku ada pada ais krim
vanilla.” Aariz Mikail masih menggelarkan Trish Amani dengan gelaran yang
dipanggilnya selama sebulan jika dia menyebut tentang gadis itu pada rakan –
rakannya.
“ Kau bagi kat dia?” Soal Hafiz Khilfi
kehairanan.
“ Dia tak tau pun aku selit handphone aku
dalam beg dia tadi.” Jawab Aariz Mikail masih lagi tersengih seperti tadi.
Hafiz Khilfi tergelak dengan tindakan Aariz Mikail itu. Dia tahu gadis itu
perlu menemui Aariz Mikail untuk memulangkan telefon bimbit yang ditemui itu.
“
Kalau dia buang handphone hang, baru hang tau!” Tegur Hafiz Khilfi. Wajah Aariz
Mikail langsung menjadi masam. Hafiz Khilfi tergelak – gelak riang.