Oh!Oh!Suamiku
Rockstar! - Satu
“ Trish! Aku dah kat McD ni.” MilraTania separuh
mengah. Dia betul-betul baru sampai di pintu masuk McD Alor Setar. Trish Amani
di hujung talian terpaksa membesarkan telinganya. Bunyi ketukan drum dan
jeritan gitar menenggelamkan suara MilraTania. Ketika dia melalui hadapan pusat
membeli belah itu tadi, kelihatan satu pentas besar menghadang pemandangan
pintu masuk ke pusat membeli belah itu namun keadaan sekeliling meriah dengan
orang ramai yang berkerumun.
“ Kau tunggu lama dah ke?” Trish Amani baru saja
menekan butang sensor Hondanya. Penat
sungguh dia berpusing di sekeliling kawasan City Plaza untuk mendapatkan tempat
parking. Akhirnya dia beralah untuk pergi ke tempat parking awam yang berada
jauh di hujung jalan besar itu.
“ Ha?” Tak dengar lah! Apa dia?” MilraTania menjerit
seolah-olah dia betul-betul bercakap di sebelah pembesar suara.
“ Tak apa. Kejap lagi aku sampai. Aku baru je dapat tempat
parking.” Trish Amani menjerit kembali mengikut permintaan MilraTania memintanya
untuk mengulang kembali apa yang dikatakan.
“ Weh, datang cepat!” Jerit MilraTania.
“ Relakslah. Dah sampai pun!” Balas Trish Amani
masih lagi menjerit.
“ Rugi kalau lambat. Dengar ni!” MilraTania
kedengaran sangat teruja.
Wake me up!
Wake me up
inside!
Wake me up
inside!
Call my name and
save me from the night!
Woh! Menganga Trish Amani jadinya mendengar latar
belakang suasana MilraTania sebelum rakannya itu mematikan talian. Mamat
bersuara parau menarik bait-bait lagu Evanescence
dengan selambanya. Punyalah jelas dari dalam telefon, Trish Amani boleh
mendengarkannya dengan begitu nyata. Alor
Setar ada apa hari ni? Gempak betul!
Dia segera membuka langkah. Trish Amani berasa sangat
teruja. Jarang sekali berpeluang mendengar lagu-lagu begitu dipersembahkan
secara langsung. Ramai orang akan memilih lagu-lagu selamat untuk
dipertandingkan. Dengan mendengar lagu Bring
Me to Life, Trish Amani berasa bersemangat untuk melihat persembahan itu.
Namun cuaca hari itu tidaklah terlalu nyaman. Trish Amani memperlahankan
langkahnya. Mentari seperti mengamuk dengan sinarannya yang terang-benderang walaupun
jam sudah pun menunjukkan tepat setengah jam selepas pukul lima. Seketika dia
mengelak motor-motor yang bersusun tidak rata di tepi jalan. Dia sudah mula menghampiri
tempat yang dijanjikan pada MliraTania.
Trish Amani tiba-tiba terkenangkan sesuatu. Segera
dia menekan butang telefon bimbitnya.
“ Nia, aku beli ais krim kat luar tu dulu tau.”
Dengan kepanasan cuaca hari itu, Trish Amani langsung teringatkan ais krim McD
yang sejuk. Terutama sekali perasa vanilla kegemarannya.
“ Kau tak payah tunggu aku. Order dulu, okay. Kejap
lagi aku join kau.” Sambung Trish Amani dengan gembira. Hari yang menyenangkan
untuknya biarpun cuaca panas memaksanya mahu mencari sesuatu yang sejuk untuk
melegakan tekak.
Seketika itu kedengaran pelbagai lagu yang
berkumandang dari dalam bangunan kedai yang serba meriah itu. Dari nasyid
hinggalah ke lagu Bahasa Mandarin dan Bahasa Korea. Trish Amani sempat
menggeleng pada jurujual yang menghulurkan pamplet padanya. Kakinya terus
melangkah masuk ke dalam pusat membeli belah yang serba sibuk itu. Dia ke situ
bukan untuk membeli belah tapi untuk bertemu MilraTania sempena cuti semester. Kebetulan
ada pertandingan Battle of the Band
di situ, bolehlah dia dan MilraTania berhibur sekali.
Trish Amani memang seorang yang sukakan muzik.
Biarpun tidak melayan semua genre muzik namun untuk genre yang dia sukai,
sanggup dia bergolok gadai. Dia sanggup berlapar untuk menyimpan duit membeli
tiket konsert artis kesayangannya. Tapi kesukaannya tidak ekstrim. Dari Avril Lavigne, Paramore hinggalah ke Muse,
dia sukakan muzik rock yang tidak keras. Santai tetapi melodik. Dan rakan baik
yang sedang menunggunya di McD itu juga punya kepala yang sama dengannya.
Frozen inside
without your touch without your love, darling
Only you are the
life among the dead
Terdengarkan bahagian itu dinyanyikan dari jauh,
Trish Amani langsung berlari. Bagaikan magnet, mamat bersuara parau itu punyai
kuasa memukau Trish Amani untuk melupakan cita-citanya untuk membeli ais krim.
Berdiri di pintu masuk City Point, Trish Amani menganga melihat band yang
sedang membuat persembahan itu. Semua ahli band mengenakan T-shirt hitam dan
berseluar jeans hitam. Penyanyinya berambut Mohawk pendek seperti tidak kena
dengan fesyen yang dikenakan. Namun suaranya yang sangat hebat cukup untuk
menutup semua itu.
“Sekian. Terima kasih.” Ucap penyanyi itu selepas
lagu mereka tamat dipersembahkan. Trish Amani yang tadi berhenti bernafas kini
menghela nafas kepuasan.
“ Ini kalau tak menang, memang tak patut la.” Ucap
Trish Amani sambil membuka langkah menuju ke McD. Dia ternampak MilraTania yang
baru sahaja hendak masuk ke McD beberapa meter di hadapannya.
“ Nia!” MilraTania menoleh. Gadis berwajah Serani
itu segera menguntum senyum. Trish Amani dan MilraTania lantas berpelukan.
“ Kau sangkut tengok mamat Mohawk tu jugak ya?” Soal
Trish Amani separa tergelak.
“ Gila kot kalau tak tengok. Mana datang mamat ni kat
sini?” Trish Amani tergelak. Dia faham MilraTania. Rakan baiknya yang dikenali
sejak tujuh tahun yang lalu punya citarasa yang tersendiri.
“ Kan? Aku berlari dari jauh nak tengok diorang ni
sendiri.” MilraTania tersengih memandang Trish Amani.
“ Aku tak pernah terfikir orang lelaki nyanyi lagu
ni boleh jadi sedap macam tu.” Komen Milra Tania.
“ Ye la. Selama ni lagu tu sinonim dengan Amy Lee
je. Mana nak terfikir orang lelaki nyanyi lagu tu.” Balas Trish Amani pula.
Mereka terus-terus bersembang dan bercerita seolah-olah baru tadi menyaksikan Cold Play ataupun Green Day di hadapan mata. Sambil berjalan ke arah pintu McDonald,
pandangan Trish Amani terarah pada booth
ais krim McDonald yang sepatutnya menjadi destinasi awalannya tadi. Baru dia
teringat akan tekaknya yang dahagakan ais krim vanilla.
“ Baru teringat aku teringin ais krim vanilla tadi.
Kau masuk dulu, Nia.” MilraTania mengangguk dengan kata-kata Trish Amani. Dia
juga turut laparkan Chicken McDeluxe yang dilupakannya sebentar tadi hanya
semata-mata lagu Evanescence yang
dinyanyikan dengan sungguh memukau itu.
“ Terima kasih.” Ujar Trish Amani ketika menyambut
ais krim dari petugas McDonald dengan leganya. Tangannya agak penuh dengan beg
tangan, telefon bimbit dan ais krim dan Trish Amani terkial-kial menyusun itu
semua.
Splat!
“ Hoi!” Satu suara menyergah Trish Amani. Rupanya
dalam kekalutan itu dia terlanggar seorang mamat berbaju kemeja merah bertali
leher hitam.
“ Ais krim aku!” Bulat mata Trish Amani. Ais krim
yang diidamkan tadi melekat tepat pada baju mamat itu.
“ Ais krim yang kau risaukan? Baju aku ni macamana?”
Separuh menyinga mamat yang menjadi mangsa ais krim Trish Amani itu. Matanya
dijegilkan pada Trish Amani, nampak yang dia sangat marah padanya. Trish Amani
yang tadi terkejut langsung menjadi malu dan bersalah. Benar. Ais krim vanilla
kesukaannya itu kelihatan seperti lukisan yang bercorak abstrak di kanvas merah.
“ Maaf. Saya tak sengaja.” Balas Trish Amani dengan
perlahan.
“ Mohon maaf memang senang. Tapi baju saya ni macam
mana?” Balas lelaki itu kedengaran sangat tension.
“ Err… saya boleh tolong cucikan.” Dengan rasa
bersalah Trish Amani segera mencari tisu di dalam beg tangannya.
“ Cuci? Tak apalah. Yang tu saya pun boleh buat
sendiri.” Balas mamat itu kelihatan sangat sugul. Keadaan itu menambahkan lagi
rasa bersalah Trish Amani. Sambil menghulurkan tisu pada lelaki itu, tiba-tiba
datang satu idea dalam kepalanya.
“ Err… encik. Saya boleh tolong belikan encik baju
baru.” Trish Amani memberi cadangan yang tidak disangka-sangka. Kalau setakat
kemeja berwarna merah saiz L macam ni banyak dalam pusat membeli belah, fikir
Trish Amani. Mamat yang sedang mengesat kesan ais krim pada bajunya terhenti
terus. Dia memandang Trish Amani yang membuang ais krim yang kemalangan
dengannya tadi ke dalam tong sampah yang berhampiran.
“ Betul? Saya memang nak cepat. Giliran saya yang
ketiga lepas lagu ni.” Mamat itu terus bersetuju dengan cadangan Trish Amani. Trish
Amani yang terkejut dengan jawapan itu memandang mamat yang bertompok bekas ais
krim di hadapannya. Baru dia terperasan betapa bergayanya lelaki itu. Berseluar
hitam dengan aksesori rantai besi di sisi kanan pinggangnya, kasut DC bertapak
merah dan rambutnya dibiarkan cacak pendek. Wajahnya yang sedikit kecinaan
membuatkan Trish Amani terkaku seketika. Namun lagu yang dinyanyikan dari
pertandingan di belakang mereka ternyata langsung tidak kena untuk menjadi
latar belakang saat itu.
Sekebun cinta
nan berbunga
Megah berdiri
nan berduri
Aku yang asli
Di dalam mekar
Bila terbit
mentari
Menguntumlah
Suara penyanyi perempuan itu terus pecah kerana dia menjerit dari mula
dia menyanyikan lagu Anggapanmu itu. Langsung mereka berdua tertawa seketika.
“ Tak baik tau gelakkan dia. Mesti dia dah cuba
habis-habisan.” Bela lelaki itu apabila dia berhenti tergelak.
“ Sorry, saya tak sengaja.” Balas Trish Amani. Dia
bukan sengaja hendak mentertawakan penyanyi itu. Namun dia berasakan suara
penyanyi itu tidak mampu membawakan lagu Ziana Zain yang bernada tinggi. Tapi
tidak dia suarakan pendapatnya pada lelaki itu. Dia simpan saja pendapatnya
dalam diam.
“ Err.. so awak ambik bahagian dalam pertandingan
ni?” Trish Amani cuba untuk berbual dengannya setelah mereka berhenti ketawa.
“ Haah. Itu yang saya panik sebab kami satu band
pakai baju yang sama.” Ternyata lelaki itu menjadi tenang setelah mereka
tertawa bersama tadi.
“ Okay, kalau macam tu, jomlah cari baju!” Trish
Amani terus beredar menuju ke arah eskelator untuk menaiki tingkat atas. Lelaki
itu bersahaja mengikuti Trish Amani tanpa banyak soal. Ketika itu Trish Amani
seakan yakin dengan pencariannya.
“ Tema baju semua warna merah dan tie hitam, ya?”
Trish Amani cuba menghilangkan keadaan pelik berjalan di pusat membeli belah
bersama lelaki yang tidak dikenalinya.
“ Haah.”
“ Kalau merah macam ni tak dak, macamana?” Trish Amani
cuba memikirkan segala jenis warna kemeja merah yang pernah dia lihat. Semua
warna bermain di kepalanya. Merah hati, maroon, merah terang, merah jambu….
“ Tak pa, janji merah.” Balas lelaki itu pendek. Dia
pun melilau melihat kiri dan kanan mencari kedai yang menjual pakaian.
Namun setelah mereka masuk dan keluar dari beberapa
kedai, Trish Amani menjadi agak panik. Lagu Ziana Zain tadi sudah berganti
dengan lagu rock 90an, Rimba Cintaku. Dan ketika lagu Rimba Cintaku hampir
berakhir, mereka masih tidak menemui kemeja merah bersaiz L.
“ Habis.”
“ Saiz L tak dak, saiz M ada.”
“ Meghah tak dak. Kale kunin ada.” Terpejam mata
Trish Amani mendengarkan jawapan tauke-tauke kedai yang mereka kunjungi. Lagu
terakhir akan bermula bila-bila masa sahaja sekarang ini.
“ Macamana ni? Semua tak ada.” Ternyata lelaki itu
sangat panik. Saat itu juga ringtone masing-masing tidak henti-henti berbunyi.
Trish Amani dengan segera menjawab telefonnya.
“ Kau kat mana? Lama betul beli ais krim!” Milra
Tania bertanya dengan begitu tidak puas hati.
“ Kau tunggu jap. Ada emergency!” Balas Trish Amani terus mematikan talian. Lelaki itu juga
sedang menjawab telefon.
“ Aku kat dalam. Ada problem sikit.” Trish Amani
memandang lelaki itu dengan perasaan yang bersalah dan separa panik. Cepat
fikir! Cepat fikir! Macamana nak selesaikan masalah ni? Trish Amani terus-terus
berfikir. Dia tahu lelaki ini perlu turun sekarang untuk bersiap-siap. Giliran
mereka adalah selepas lagu yang akan berkumandang dalam masa beberapa saat
lagi.
“ Aku turun la satgi!” Lelaki itu terus mematikan
talian. Dia kelihatan sangat tertekan.
“ Sorry…” Trish Amani hanya mampu menyatakan
perkataan itu sahaja waktu ini.
“ Nah… band saya panik. Sebenarnya saya ni bidan
terjun last minute. Shazrul sakit
tekak. Hilang suara langsung. Tu yang saya ganti tiba-tiba. Malam tadi baru
kami praktis.” Trish Amani semakin memahami apa yang terjadi.
“ Oh..” Respon Trish Amani pendek. Dia kurang pasti
apa yang sepatutnya dia katakan waktu ini.
“ Saya ni main bass je sebenarnya.” Sambung lelaki
itu lagi.
“ Oh..” Kata Trish Amani lagi.
“ Sekarang ni… saya tak pasti saya ni presentable enough to front the band…”
Luah lelaki itu perlahan. Namun matanya tetap melilau melihat deretan baju-baju
yang bergantungan. Tampak dia sudah kehabisan idea dan juga kesuntukan masa.
“ Saya ada cadangan… tapi terpulang kalau encik nak
ikut ke tak…” Perlahan saja Trish Amani cuba mengusul apa yang terlintas di
fikirannya tadi.
“ Iaitu?”
“ Apa kata encik pakai kemeja hitam dan tie merah.”
Cadang Trish Amani. Lelaki itu segera menggeleng.
“ Tak seragam. Itu saja dah tak ikut criteria yang
diperlukan.”
“ Masih ada sedikit keseragaman. Masih ada warna
hitam dan merah. Cuma beza pada baju dan tie saja. Lagi satu, encik kan fronting the band. Nampak lain pun tak
salah.” Usul Trish Amani lagi. Dia tahu lelaki itu akan tetap tidak bersetuju
tetapi di waktu ini, itu sahaja idea yang timbul di fikirannya.
Sambil mengeluh kecil, dia mengangguk perlahan.
Trish Amani menghela nafas lega. Segera dia berlari masuk ke dalam kedai
pakaian yang berhampiran dan meminta baju kemeja hitam saiz L dari jurujual di
situ. Bila Trish Amani menunjukkan baju yang ditemuinya pada lelaki itu, dia
mengangkat ibu jarinya tanda setuju. Namun dia langsung tidak mengukir senyuman.
Wajahnya tampak kelat seolah-olah sedang memikirkan masalah negara yang sangat
besar. Seusai membayar kemeja, Trish Amani segera bergerak mencari tali leher
merah. Ketika itu lagu Gerhana sudah mula berkumandang. Mereka harus lebih
cepat untuk mencari tali leher merah.
“ Ha! Jumpa!” Seru lelaki itu ketika mereka berlari
anak di kaki lima kedai-kedai di situ. Nasib baik kedai yang menjual tali leher
juga hanya berdekatan.
“ Merah ni okay tak?” Trish Amani menghulurkan baju
kemeja hitam itu tadi cuba memadankan tali leher yang dibelek oleh lelaki itu.
“ Okay.” Jawabnya pendek. Terus saja Trish Amani
membuka beg duitnya untuk membayar tali leher tersebut. Namun lelaki itu
menahannya.
“ Tak apalah. Yang ni saya bayar.” Segera dia
mengeluarkan not oren bernilai RM20 dan dihulurkan pada jurujual tersebut.
Trish Amani mengangguk perlahan. Dia akur sahaja dengan permintaan lelaki itu.
Dalam waktu yang sangat suntuk begitu, apa pun diterima saja.
Setelah mendapat kedua-dua barang tersebut, terus
mereka berlari ke arah eskelator untuk turun ke tingkat bawah. Orang ramai
memandang sekali lalu pada kedua mereka yang berlari menuruni eskelator.
“ Tumpang lalu!” Tegur lelaki itu ketika dia cuba
mengelak seorang nenek tua yang memegang beg plastik berisi kotak berwarna-warni.
Trish Amani turut sama membuka langkah mengejar lelaki itu. Peliknya dia
sendiri kurang pasti mengapa dia harus mengikuti lelaki itu sedangkan hutangnya
pada lelaki itu sudah selesai.
Akhirnya mereka tiba di belakang pentas. Kelihatan
beberapa orang lelaki berkemeja merah bertali leher hitam sedang memeriksa
peralatan muzik mereka.
“ Mika! Hang pasai apa?” Seorang lelaki berambut
merah sedang menjinjing double paddle drum berura meletakkannya di tepi tangga
stage.
“ Budak ais krim vanilla ni. Habis baju aku.” Lelaki
yang dipanggil Mika itu menunjukkan pada kesan ais krim penangan Trish Amani
tadi. Kesemua lelaki lain yang sibuk dengan alat muzik masing-masing mengangkat
kepala dan memandang ke arah Trish Amani. Trish Amani hanya mampu tersengih di
situ. Seketika mereka terkelip-kelip memandang Trish Amani.
“ Habis tu nak buat macamana?” Tegur seorang lelaki
yang tidak memakai uniform yang sama seperti mereka yang lain secara tiba-tiba.
“ Nak tukaq baju la ni.” Selamba saja lelaki itu
menanggalkan baju kemeja merahnya dan mula menyarungkan kemeja hitam yang baru
dibeli tadi. Terkejut Trish Amani dengan keselambaan lelaki itu lantas dia
terus berpusing mengadap ke arah lain. Waktu itu juga kedengaran bangkangan
dari kawan-kawannya.
“ Ni bukan meghah!”
“ Awat tukaq plan ntah?”
“ Pasai apa pulak ni…?”
“ Encik-encik semua , tolonglah jangan marahkan dia!
Saya yang bersalah sebab kotorkan baju dia. Jadi apa kata encik-encik semua
marah saya saja? Saya yang cadangkan pakai macam ni sebab tak ada satu pun baju
merah saiz L masa kami cari tadi.” Trish Amani terus memotong kebisingan yang
dilemparkan pada lelaki itu. Langsung tersenyap mereka semua. Seketika itu juga
lagu Gerhana berakhir. Lelaki yang dipanggil Mika itu segera menyarungkan tali
leher merah dengan lajunya.
“ Thanks!” Ucapnya pendek pada Trish Amani. Trish
Amani tersenyum kecil. Dia berasa lega berada di situ. Sekurang-kurangnya dia
berasa kurang bersalah atas tindakan yang tidak disengajakan tadi.
“ Hang dah tune
bass?” Tegur lelaki berambut merah menukar atmosfera yang agak tegang itu.
Lelaki yang dipanggil Mika itu mengangguk sambil menyarung strap gitar bass di
bahunya. Gitar bass Ibanez Soundgear berwarna hitam tampak berkilat di bawah
cahaya matahari petang. Trish Amani memerhatikan gelagat kesemua ahli band itu.
Yang berambut merah sedang memutar-mutar drum stick di tangannya. Kedua orang
pemain gitar, seorang kurus tinggi dan seorang lagi berbadan gempal kelihatan
sedang memegang distortion
masing-masing. Kini mereka menunggu kumpulan yang membuat persembahan lagu
Gerhana tadi turun dari pentas. Trish Amani tahu sudah sampai masanya untuk dia
beredar.
“ Err… kalau macam tu encik…..”
“ Aariz Mikail. Panggil Mika ja.” Aariz Mikail
memperkenalkan diri tanpa dipinta.
“ En Mika, saya pergi dulu ya. Maaf pasal ais krim
vanilla tu.” Trish Amani memohon diri dengan baik. Hatinya lega kerana akhirnya
dia berjaya membantu Aariz Mikail menyelesaikan masalah teknikal yang
dihadapinya tadi.
“ Mika cepat!” Panggil lelaki yang tidak berbaju
uniform sambil mengangkat guitar effects
ke atas pentas.
“ Ha..okay… errr…” Aariz Mikail bagaikan mahu
katakan sesuatu di waktu itu. Tetapi dia terpaksa mematikan kata-katanya.
Kakinya terus melangkah naik ke atas pentas. Trish Amani mengerutkan wajahnya
tanda bertanya pada respon Aariz Mikail yang agak mengelirukan itu.
“ Tengok la kami main. Kalau tak dan tengok hari ni,
tengok kami main kat UUM bulan depan.” Tiba-tiba satu suara menegur Trish Amani
dari belakang. Trish Amani menoleh. Pemain gitar band Aariz Mikail tersenyum
kecil padanya. Seolah memahami apa yang sedang berlaku. Trish Amani terus-terus
mengerutkan dahinya. Dia kemudian membuka langkah ke arah pintu masuk pusat
membeli-belah berura untuk menemui MilraTania yang telah ditinggalkan sekian
lama.
I was blown away
what could I say?
Langkah Trish Amani terhenti. Suara yang dalam yang
menyanyikan lagu Daughtry itu ternyata berjaya menghentikan segala-galanya. Dia
menoleh. Matanya terus menangkap wajah cina yang berbaju hitam bertali leher merah
itu. It’s not over, Daughtry? Lagu
ini yang Aariz Mikail nyanyikan? Getus hati Trish Amani. Sebagai bidan terjun?
Biar betul? Trish Amani terus menganga.
It all seemed to
make sense.
You’ve taken
away everything, and I can’t deal with that.
Trish
Amani terus menahan nafasnya. Dunianya bagaikan terhenti. Hanya ada dia dan
Aariz Mikail sahaja di saat ini. Telefon bimbitnya menjerit suara Avril
Lavigne, namun langsung tidak dia sedari.
slm sis...awesome...can't wait for the next chap...pali waa...:)
ReplyDeletewahh.. best nie.. ^_^
ReplyDeletex sabaq tunggu crita seterusnya.. hehe